Mokhtar Ahmad

Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad merupakan salah seorang tokoh Parti Islam Se-Malaysia yang ternama pada dekad 1950-an[1]. Walaupun berasal dari Kota Bharu, beliau pernah menjadi kadi di Pasir Mas antara 1935 hingga 1939. Lantaran itu, dalam Pilihan Raya Umum 1955, PAS menamakan beliau sebagai calon di kawasan Pasir Mas. Selain menjadi calon PAS, sejak 1936, Haji Mokhtar Ahmad adalah antara segelintir ulamak pondok yang aktif dalam politik di Kelantan. PAS Kelantan terlibat dalam Pilihan Raya Umum Persekutuan sebelum merdeka pada 27 Julai 1955. PAS Kelantan meletakkan tiga calon dalam pilihan raya ini iaitu Haji Mohd Noor Yusof (Kelantan Selatan), Mohd Asri Haji Muda (Kelantan Timur) dan Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas). Daripada tiga calon ini, Haji Mokhtar Ahmad mendapat pungutan undi tertinggi, apabila beliau memperolehi 7,507 undi walaupun tewas kepada calon Perikatan, Tengku Ahmad Panglima Raja Tengku Abdul Ghafar dengan majoriti 13,456 undi.